Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar tahfiz pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Wilayah Perseketuan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyangkal dakwaan penghuni sebuah kondominium di Batu Muda, Sentul kononnya tindakan tidak diambil bagi mengatasi masalah tekanan air rendah yang dihadapi mereka.

Katanya, tidak mungkin tindakan tidak diambil oleh pihak bertanggungjawab dan mungkin mereka yang membangkitkan perkara itu belum lagi lahir ketika menceritakan masalah yang berlaku.

“Kalau nak cerita sekarang tak payah cerita 20 tahun, 30 tahun, cerita sekarang apa masalah.

“Kalau 30 tahun dulu makna selesai 30 tahun dulu bukan zaman saya…saya baru tujuh bulan (sebagai Menteri Wilayah Persekutuan).

“Jadi, sekarang ni apa masalah saya akan selesaikan. Saya tak mahu sebut 30 tahun dan sebagainya. Mungkin dia tak lahir lagi dia dah cerita masalah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai rungutan penduduk sebuah kondominium di Batu Muda, Sentul yang mengalami masalah ketiadaan air sejak dua hari lepas.

Ada dalam kalangan penghuni kondominium terbabit mendakwa masalah tekanan air rendah itu telah berlaku sejak dua tahun lepas.

Malah, ada dalam kalangan mereka mengakui sudah penat membuat aduan.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, masalah yang dihadapi penghuni kondominium itu akan diselesaikan segera.

Katanya, beliau mendengar rungutan mereka dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Sekarang saya mendengar dan tindakan akan diambil.

“Ini adalah ketegasan…saya nak beritahu di pihak kami bahawa apa sahaja maklumat tentang permasalahan rakyat akan diambil tindakan serta-merta.

“Jadi perkara dua tahun ni mungkin pemberita quote dari satu orang terus dijadikan berita seluruh negara. Saya nak dengar dua tahun, tapi yang penting dua tahun tu sudah jadi sejarah yang paling penting saya akan ambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast