Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Felcra Bhd menyasarkan 50,000 hektar penanaman sawit bagi tempoh lima tahun akan datang dalam usahanya menjamin kelangsungan dan kelestarian syarikat tersebut.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah itu diambil susulan permintaan yang tinggi untuk eksport minyak sawit dan pada masa ini Felcra mempunyai keluasan tanaman sawit sebanyak 31,000 hektar yang mana keberhasilannya hanya 26,000 hektar sahaja.

“Memandangkan harga komoditi (sawit) kini sedang meningkat naik disebabkan tindakan negara pengeluar utama di dunia iaitu Indonesia mengurangkan jumlah eksport mereka bagi membolehkan penggunaan domestik di negara berkenaan.

“Ini memberi ruang kepada pengeluar sawit di negara lain seperti Malaysia untuk mendapatkan pasaran di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pemeteraian perjanjian persefahaman usaha sama Projek Residensi Koperasi Felcra di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, Felcra juga mempunyai beberapa tanaman komoditi yang mana 20 peratus adalah padi dan getah manakala 80 peratus pula adalah tanaman sawit.

“Kita melihat pelaburan terbaharu adalah sawit dan kerana kita tahu getah tidak stabil dan bersaing dengan getah tiruan manakala padi pula kita hanya menjaga kawasan yang sedia ada iaitu di sekitar Perak,” katanya. – Bernama