Jordi Amat.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan Swansea yang baru sahaja dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Jordi Amat dilaporkan semakin hampir untuk menyertai pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran Instagram Story oleh media Indonesia, Gosball yang menjelaskan mengenai situasi pemain baharu mereka itu.

Jordi dilaporkan akan menyertai pasukan JDT sebagai slot pemain import Asean kerana telah berstatus warganegara Indonesia.

Pengumuman rasmi juga dikhabarkan bakal dibuat dalam masa terdekat untuk memperkenalkan pemain baharu itu.

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Facebook Johor Southern Tigers mengenai penyertaan Jordi ke skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Untuk rekod, Jordi sudah melengkapkan proses naturalisasinya pada 15 Mei lalu sebelum dilaporkan berada dalam radar pasukan Harimau Selatan.

Pemain berusia 31 tahun itu sedang menikmati perjalanan karier yang amat memberangsangkan apabila menjadi watak penting buat kelab KSA Eupen musim ini.

Dia telah turun hampir 27 perlawanan sebagai kesebelasan utama dan menjadi kapten disebabkan pengalaman yang cukup luasnya beraksi di Eropah. — MalaysiaGazette