Wan Mohd Zahari menyantuni penungang e-hailing dan penghantar makanan dalam Kempen Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Jalan Raya bersama Pemandu dan Penghantar Makanan E-hailing di Kuantan hari ini

KUANTAN – Polis mengalu-alukan penyertaan 1,500 pemandu dan penunggang e-hailing termasuk penghantar makanan di daerah ini bagi menjadi ‘mata dan telinga’ pihaknya menerusi Rakan Cop.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penyertaan itu membantu pihak berkuasa mendapatkan laporan yang tepat berhubung salah laku jenayah di kalangan masyarakat.

“Sekiranya mereka bersedia untuk menyertai Rakan Cop, saya yakin langkah itu dapat membantu polis dalam aspek pencegahan jenayah di daerah ini.

“Kolaborasi ini bagi memastikan perkhidmatan e-hailing di daerah ini tidak disalahgunakan bagi tujuan jenayah dan pengedaran dadah,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata demikian ketika Kempen Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Jalan Raya bersama Pemandu dan Penghantar Makanan E-hailing di Kuantan hari ini.

Jelasnya walaupun tiada kes salah laku jenayah yang serius melibatkan golongan itu namun kes kesalahan trafik sering dikesan melibatkan mereka.

“Ada kes saman dikeluarkan kepada penghantar makanan e-hailing ini atas kesalahan lalu lintas terutama tidak berhenti di lampu isyarat merah,” katanya.

Sebelum itu Wan Mohd Zahari turut menghadiri Program Perjumpaan dan Sesi Dialog bersama Pengurus Penghantar Makanan dan E-Hailing Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi memberi kesedaran pematuhan lalu lintas kepada pengguna. – MalaysiaGazette