Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh.

KUALA LUMPUR – Seramai 759 individu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol telah ditahan menerusi operasi serta tangkapan yang dijalankan polis di sekitar ibu negara untuk tempoh Januari hingga April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 110 operasi dilaksanakan.

“Kesemua individu yang ditahan dalam operasi itu disiasat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada tahun lalu, seramai 1,155 orang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tambah Sarifudin, daripada 759 individu yang ditahan itu, 99.5 peratus adalah lelaki.

Menurut beliau, dalam usaha memastikan pemandu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, polis melaksanakan Operasi Mabuk (Op Mabuk) setiap hari di beberapa kawasan di ibu negara.

“Saya menasihatkan orang ramai di atas jalan raya supaya tidak minum minuman keras sekiranya mahu memandu kenderaan.

“Jika boleh sebaik-baiknya gunakanlah khidmat pemandu e-hailing, teksi atau pengangkutan awam lain dan lebih baik menumpang kenderaan rakan yang tidak mabuk sekiranya anda berada di bawah pengaruh alkohol,” ujarnya. – MalaysiaGazette