Mohd Wazir Mohd Yusof

GEORGE TOWN – Persatuan Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (MyENVHEAT) menggesa Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Perak.

Ia susulan kenyataan Koo Ham yang mempertikaikan tindakan KKM terhadap peruncit yang meletakkan minuman alkohol bersama makanan serta minuman lain.

Presidennya, Mohd Wazir Khalid berkata, Koo Ham dalam satu sidang media yang disiarkan menerusi Facebook milliknya semalam mendakwa tindakan yang diambil terhadap peruncit itu adalah salah, selain menyelar pegawai dan anggota penguatkuasa KKM yang terbabit operasi tersebut telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Katanya, kenyataan Koo Ham itu disifatkan mahu mencari publisiti semata-mata.

Sedangkan tindakan yang lakukan oleh pegawai operasi mengikut Peraturan 361(5) Akta Makanan 1985 yang memperuntukkan minuman beralkohol tidak boleh dipamerkan secara bersama dengan makanan atau minuman lain.

Koo Ham (tengah) bercakap pada sidang media semalam membabitkan seorang peruncit dikompaun RM3,000 atas kesalahan meletakkan minuman arak bersama minuman lain.

“MyENVHEAT ingin menegaskan bahawa pegawai diberikuasa berkenaan telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sempurna.

“Kita juga menggesa Koo Ham meneliti semula peruntukan undang-undang yang ada sama ada Akta Makanan 1983 dan Kanun Prosedur Jenayah sebelum membuat kenyataan yang mengelirukan, sekali gus memberikan tanggapan buruk terhadap KKM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Media tempatan semalam melaporkan seorang peruncit di Ayer Tawar, Perak dikompaun RM3,000 susulan meletakkan minuman alkohol bersama minuman lain. – MalaysiaGazette