Simptom penyakit cacar monyet. Foto Centers for Disease Control and Prevention, USA

LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran peningkatan kes virus cacar monyet (monkeypox) di Britain.

Siasatan sedang dijalankan oleh pegawai kesihatan Britain untuk mengesan punca wabak yang melanda terutamanya di London yang kini telah menjangkiti sembilan orang.

“Berdasarkan maklumat yang ada pada masa ini, jangkitan nampaknya diperoleh secara tempatan di United Kingdom. Tahap penularan tempatan tidak jelas pada peringkat ini dan terdapat kemungkinan pengecaman kes lanjut,” tambah WHO.

Tiga kes daripada isi rumah yang sama pada mulanya disahkan alami virus itu pada 6 Mei, diikuti empat lagi kes beberapa hari kemudian.

Dua kes tambahan dilaporkan – satu di London dan satu di Tenggara England, turut dikesan.

“Kes terkini menjadikan jumlah kes cacar monyet yang disahkan di England sejak 6 Mei hingga 9, dengan kes baru-baru ini kebanyakannya dalam kalangan gay, biseksual atau lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (GBMSM),” kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) melalui laman web rasminya.

Cacar monyet ialah zoonosis silvatik dengan jangkitan manusia sampingan yang biasanya berlaku di bahagian hutan di Afrika Tengah dan Barat.

Ia disebabkan oleh virus cacar monyet yang tergolong dalam keluarga orthopoxvirus, tambah WHO.

Siasatan pengesanan terperinci juga sedang dijalankan untuk menentukan kemungkinan punca dan menentukan sama ada terdapat sebarang rantaian penularan lanjut di Britain untuk semua kes.

“Sumber jangkitan masih tidak dapat disahkan untuk sama ada keluarga atau kluster GBMSM,” kata WHO.

Susan Hopkins, Ketua Penasihat Perubatan di UKHSA, berkata kes terbaharu ini dan laporan kes di negara-negara di seluruh Eropah mengesahkan kebimbangan awal mereka kemungkinan terdapat penularan cacar monyet dalam masyarakat.

“Kami sedang menghubungi mana-mana kenalan rapat kes yang dikenal pasti untuk memberikan maklumat dan nasihat kesihatan,” kata Hopkins. – Xinhua