GOMBAK – Seorang lelaki dianggar berusia 20-an ditemui mati di Sri Gohtong Apartment, Medan Batu Caves, Selayang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup di lokasi mendapati simati telah jatuh dari bangunan tersebut pada jam 1.46 petang.

Setakat ini polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Polis hanya menjumpai barang-barang peribadi milik simati iaitu satu unit telefon bimbit jenis Vivo, berwarna biru dan satu unit fon telinga, satu cermin mata berwarna hitam dalam keadaan yang telah rosak/pecah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Polis juga menerima satu dompet dan serangkai kunci motorsikal yang diserahkan oleh orang awam disyaki milik simati yang dijumpai di tangga Blok B, Tingkat 8 di kawasan kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan keatas dompet simati menjumpai wang tunai berjumlah RM639 dan satu tangkal kain, warna kuning yang mempunyai tulisan bahasa Cina.

Kes diklasifikasi sebagai Kes Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperolehi.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Insp Mohd Hafiz Bin Wahad @ Ahmad (Ketua Polis Balai Selayang) ditalian 017-6885458. – MalaysiaGazette