MOSCOW – Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh menyebabkan kekurangan makanan global dalam beberapa bulan akan datang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang memberi amaran itu berkata, perang tersebut telah memburukkan lagi ketidakcukupan makanan di negara-negara miskin akibat kenaikan harga.

Dunia boleh menghadapi kebuluran yang berlarutan selama bertahun-tahun jika eksport Ukraine tidak dikembalikan ke tahap sebelum perang, tambahnya.

Konflik itu menyebabkan bekalan terputus dari pelabuhan Ukraine, yang pernah mengeksport sejumlah besar minyak bunga matahari serta bijirin seperti jagung dan gandum.

Peperangan itu juga telah mengurangkan bekalan global dan menyebabkan harga alternatif melambung tinggi.

Harga makanan global hampir 30% lebih tinggi daripada masa yang sama tahun lepas, menurut PBB.

Bercakap di New York, Guterres berkata, konflik itu “mengancam hingga menyebabkan berpuluh-puluh juta orang dalam keadaan tidak cukup makan dan kekurangan zat makanan, kelaparan besar-besaran dan kebuluran”.

Beliau tuurt memberi amaran bahawa tiada penyelesaian berkesan kepada krisis makanan tanpa mengintegrasikan semula pengeluaran makanan Ukraine, serta baja yang dihasilkan oleh Rusia dan Belarus, ke dalam pasaran global.

Guterres juga berkata beliau berada dalam “hubungan sengit” dengan Rusia dan Ukraine, serta Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dalam usaha memulihkan eksport makanan ke paras normal.

“Implikasi keselamatan, ekonomi dan kewangan yang kompleks memerlukan pakatan muhibah daripada semua pihak,” katanya.

Rusia dan Ukraine menghasilkan 30% daripada bekalan gandum dunia dan sebelum perang Ukraine dilihat sebagai bakul roti dunia, mengeksport 4.5 juta tan hasil pertanian sebulan melalui pelabuhannya.

Tetapi sejak Rusia melancarkan pencerobohannya pada Februari, eksport telah merosot dan harga telah melonjak, meningkat lebih tinggi selepas India mengharamkan eksport gandum pada hari Sabtu.

PBB berkata, kira-kira 20 juta tan bijirin kini tersekat di Ukraine daripada penuaian sebelumnya yang, jika dilepaskan, boleh mengurangkan tekanan ke atas pasaran global. – BBC