Wanita parah dibelasah dan disamun gelandangan dalam kejadian berhampiran sebuah pusat membeli belah di Klang.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang berjalan kaki menuju ke pusat membeli-belah, Centre Point di Klang melalui detik cemas selepas dibelasah dan disamun oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mangsa secara tiba-tiba ditendang dari arah belakang oleh seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum disamun.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan memukul dan menendang pada bahagian muka dan kepala mangsa dengan teruk sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Mangsa yang cedera parah dalam insiden itu telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Rao berkata, polis sedang mengesan suspek selepas identitinya dikenal pasti berdasarkan pengecaman wajah oleh mangsa.

Suspek merupakan seorang gelandangan berbadan kurus, berkulit sawo matang, berambut panjang paras bahu dan dianggarkan berumur 40-an.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana samun dan mencederakan orang. – MalaysiaGazette