Gambar hiasan

AMPANG – Polis dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) telah mempergiatkan  operasi menjejaki seekor harimau yang didakwa telah ditemui penduduk di kawasan Taman Kemensah Heights, Hulu Kelang di sini hari ini.

Usaha menjejaki dan menangkap binatang buas itu dilakukan Perhilitan Selangor kira-kira pukul pukul 4 petang tadi susulan maklumat tular mengenai penemuan harimau di kawasan perumahan tersebut.

Sebelum itu, ia mencetuskan kerisauan dalam kalangan masyarakat sekitar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, setakat ini, anggotanya yang bertugas di lokasi kejadian tidak menemui sebarang jejak binatang itu memandangkan maklumat yang diperoleh tidak lengkap.

Ia kerana tiada sebarang laporan diterima oleh polis bersabit insiden yang sama dan tiada sebarang saksi yang tampil untuk memberikan keterangan untuk membantu pihaknya.

“Hari ini telah tular satu maklumat di laman sosial WhatsApp mengenai satu kejadian kononnya orang awam terserempak seekor harimau di kawasan perumahan Kemensah 3.

“Pihak kita (polis) telah bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat dakwaan tersebut pukul 12.45 malam tadi dan pihak penduduk setempat telah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang mengatakan kononnya dia telah terserempak dengan seekor harimau berdekatan sebatang tiang lampu jalan di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Heights,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk menambah, siasatan lanjut polis tentang dakwaan itu mendapati pengawal keselamatan yang didakwa terlihat harimau berkenaan dikatakan seorang warga asing dan merupakan pengawal sementara yang bertugas di kawasan kejiranan tersebut.

“Justeru, kita juga tidak memperoleh maklumat lanjut berkaitan pengawal terbabit dan sehingga kini belum dapat dikesan (pengawal dan juga harimau).

“Namun begitu, polis  telah mengambil tindakan mempertingkatkan rondaan yang agak ketat dan serius di sekitar tempat kejadian itu bagi menjamin keselamatan penduduk di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelas Mohamed Farouk, pihak Zoo Negara juga telah menghubungi pihaknya dan mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari kandang yang berada di bawah pengurusan mereka.

“Polis pada masa yang sama juga menyeru orang ramai yang melihat harimau atau tahu tentang maklumat ini agar tampil segera untuk memberikan kerjasama kepada polis bagi mengambil langkah drastik.

“Masyarakat juga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang belum disahkan kesahihannya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette