parlimen
Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik dan pensyarah Dr Kamarul Zaman Yusoff mengesahkan beliau kini menyandang jawatan pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas Kamarul, beliau telah memulakan tugas itu sejak Disember tahun lalu tetapi lantikannya tidak melibatkan kerja-kerja politik.

“Saya telah mula menjawat jawatan pegawai khas sejak Disember lepas lagi, cuma sengaja saya tidak mahu hebahkan kerana saya lebih suka bekerja secara senyap-senyap.

“Saya bukanlah orang yang suka mengejar publisiti dan lebih suka bersikap low-profile sambil bekerja di balik tabir.

“Apatah lagi bila tugasan saya di Pejabat Perdana Menteri tidak membabitkan kerja-kerja politik ataupun perkara-perkara dasar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Media semalam melaporkan Kamarul yang juga pensyarah kanan di Pusat Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia dikatakan telah berkhidmat sebagai pegawai khas dalam soal dasar kepada Ismail selama enam bulan.

Laporan itu ekoran hantaran oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengaitkan nama Kamarul semasa mempromosikan simposium mengantarabangsakan bahasa Melayu, pagi semalam.

Facebook PMO mahupun Twitternya turut meletakkan Kamarul sebagai pegawai khas PM malah merupakan Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di DBP yang bakal diadakan 22-24 Mei ini.

Menurut hebaran yang telah dipadamkan itu, PMO ialah penganjur bersama simposium itu yang akan turut dilancarkan oleh Ismail Sabri pada Ahad depan.

“Saya seorang professional, tidak ada pun apa-apa perkara yang kontroversi mengenai saya kerana masalah kes-kes saman fitnah antara saya dengan beberapa pemimpin pembangkang adalah isu-isu peribadi lama saya yang tiada kaitan pun dengan tugas saya sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette