Pemandangan Sungai Mekong. Foto Reuters

VIENTIANE – Sungai Mekong yang melintasi beberapa negara di Asia Tenggara telah merekodkan paras air yang lebih tinggi tahun ini selepas empat tahun berturut-turut alami aliran rendah dan kemarau.

Sepanjang empat bulan pertama 2022, paras sungai itu berada pada paras tertinggi berikutan peningkatan hujan, lapor Vientiane Times yang memetik data daripada Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC).

Perkembangan itu akan mendorong peningkatan aliran sedimen dan nutrien yang lebih besar, sekali gus menambah stok ikan, pertanian dan memberi manfaat kepada kira-kira 70 juta orang di sepanjang sungai.

Bagaimanapun, kenaikan paras air “tidak menghapuskan risiko kemarau sederhana,” kata Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal MRC, Winai Wangpimool.

Data MRC menunjukkan paras air di seluruh Lembangan Sungai Mekong kekal di bawah purata 60 tahun dari 1961 hingga 2021.

Perubahan iklim juga menimbulkan cabaran, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MRC, Anoulak Kittikhoun.

Tahun lalu, musim hujan tradisional dipendekkan daripada lima bulan kepada empat, dari Jun-Oktober kepada Julai-Oktober, dan lebih banyak hujan tahun ini juga bermakna risiko hujan lebat dan banjir kilat, lapor Vientiane Times.

Indikator meteorologi MRC menunjukkan dari November 2021 hingga April 2022, lembangan Mekong yang lebih rendah bukan sahaja lebih lembap berbanding tahun biasa, malah hujan terkumpul pada tahun 2022 melebihi purata kira-kira 25 peratus.

Menurut laporan media Lao, data dari stesen pemantauan menunjukkan paras air tahun ini lebih tinggi berbanding tahun kemarau dari 2019 hingga 2021.

Sebagai contoh, paras air meningkat daripada 1.84 meter pada 2 Mac kepada 3.25 meter pada 11 Mei di Stesen Saen, Chiang, Thailand.

Manakala kenaikan paras air sebanyak 2.22 meter direkodkan di sepanjang laluan dari stesen Stung Treng ke Kampong Cham di Kemboja. – Xinhua

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast