KUALA LUMPUR – Momentum pasaran buruh Malaysia bertambah baik pada suku pertama 2022 berikutan peningkatan berterusan permintaan dan penawaran, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mengulas Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2022 (LMR ST1 2022) yang diterbitkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sejak awal tahun ini, kerajaan secara berterusan telah mengurangkan langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lepas, selaras peralihan semua negeri ke fasa akhir Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semakin ramai yang menjalankan aktiviti perniagaan dan sosial dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard sekali gus mendorong kepada peningkatan mobiliti dalam dan antara negeri.

“Memandangkan keadaan hampir kembali normal, aktiviti sosioekonomi yang lebih rancak berterusan pada suku tahun tersebut, oleh itu, ekonomi berkembang 5.0 peratus pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari perspektif penawaran buruh suku pertama 2022, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat 2.2 peratus kepada 15.57 juta orang, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya yang merekodkan 15.24 juta orang.

Sebaliknya, bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 13 peratus kepada 671,200 orang (ST1 2021: 771,800), sehubungan itu kadar pengangguran jatuh 0.7 mata peratus kepada 4.1 peratus selepas menurun kepada (ST1 2021: 4.8 peratus).

Mohd Uzir berkata, magnitud pertumbuhan guna tenaga yang lebih besar berbanding penurunan dalam pengangguran, mendorong kepada peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 1.5 peratus kepada 16.25 juta orang pada suku tahun ini.

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik 0.4 mata peratus kepada 69 peratus (ST1 2021: 68.6 peratus), katanya.

“Walaupun KPTB ini merupakan yang tertinggi dicatatkan sejak suku pertama 2020, kadar ini adalah 0.1 mata peratus lebih rendah berbanding yang direkodkan pada suku keempat 2019 iaitu suku tahun sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Memandangkan seluruh negara berada dalam fasa akhir PPN sejak Januari 2022, beliau berkata,  pasaran buruh Malaysia pada suku pertama 2022 semakin meningkat berbanding suku sama pada 2021.

Katanya, pasaran buruh juga menunjukkan kedudukan yang lebih baik berbanding suku sebelumnya meskipun pada kadar yang lebih perlahan.

“Dengan normalisasi aktiviti sosial dan ekonomi sepanjang suku kedua 2022, dijangka akan merangsang kedudukan pasaran buruh dari segi peningkatan permintaan oleh industri dan penurunan berterusan bilangan penganggur,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast