Hamzah Zainudin

KAJANG – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik perlu dibincangkan secara mendalam dari segi kaedah dan mekanisme sebelum ia diluluskan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, perkara itu penting bagi memastikan undang-undang itu efektif untuk jangka masa panjang serta mengelak berlaku kelonggaran dalam RUU berkenaan.

“Kaedah dan mekanisme ini harus difikirkan dengan lebih mendalam, sebab sesuatu yang hendak kita lakukan, kita tidak mahu ada ‘flip flop‘.

“Sekarang boleh guna, esok tak boleh guna.Yang kita (nak) pastikan RUU itu boleh digunakan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) Bagi  Program Rawatan Dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK (MRT AADK) di sini hari ini.

Hamzah menambah, penelitian serta cadangan kaedah serta mekanisma menguatkuasakan RUU berkenaan perlu diketuai oleh satu pasukan pakar.

“Sesuatu yang kita lakukan dari segi polisinya baik tapi dari segi perinciannya harus diberikan kepada sesuatu pasukan bukan hanya daripada agensi tetapi juga daripada kalangan mereka yang berpengalaman

“Kita ambil mereka yang sudah praktikkan di negara-negara luar, kita buat lawatan maka selepas itu barulah kita adakan sesuatu yang boleh diguna pakai pada masa-masa hadapan,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bermesyuarat mengenai cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU sumbangan politik yang turut disertai Hamzah.

Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan skop dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, RUU itu perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet terlebih dahulu sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti politik. – MalaysiaGazette