Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Kepulangan semula bintang Kedah, Syafiq Ahmad ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat memandangkan tempoh pinjamannya ke skuad Sang Kenari belum genap setahun.

Ini kerana ramai beranggapan Syafiq Ahmad menjadi mangsa keadaan perbalahan antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan pemilik skuad JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sanusi sebelum telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut memberikan contoh kepada kenyataannya itu iaitu ketika kejadian ‘luar biasa’ yang berlaku apabila pengadil memberikan tambahan masa 10 minit sewaktu JDT menentang Negeri Sembilan FC di Paroi, Negeri Sembilan.

Kenyataan Muhammad Sanusi pada sebuah akhbar itu mendapat perhatian daripada warganet dan mereka berpendapat daripada beliau berbasa basi mendakwa isu menyembah tokong dalam bola sepak tempatan, adalah lebih elok Menteri Besar Kedah melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Syafiq bermain untuk KDA FC secara pinjaman selama setahun bagi musim 2022.

Perpindahan penyerang turut mendapat restu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebagai rekod, Syafiq memulakan karier peringkat remaja bersama SMK Tunku Anum sebelum diserap masuk ke skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada musim 2013.

Dia kemudiannya menyertai JDT pada 2018 dan berjaya menjuarai beberapa kejohanan tempatan selain turut beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). – MalaysiaGazette