Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh kenderaan setelah bertukar haluan secara mengejut di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh kenderaan setelah bertukar haluan secara mengejut di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa, Abu Hassan Shari Salleh, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kemalangan maut  jalan raya pada pukul 11.41 pagi tadi melibatkan dua buah kenderaan  antara Toyota Wish dan motosikal Honda Wave di Jalan Bypass menghala ke Gambang berhampiran Petronas Pandan, Kuantan.

“Siasatan awal dapati pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Bukit Rangin hendak menghala  ke arah Gambang.

“Setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa (penunggang motosikal) mengubah haluan masuk ke laluan kereta meskipun pemandu sempat membrek namun  kerana jarak terlalu dekat, beliau terlanggar mangsa dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Kamarulzaman, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang mengubah lorong secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan.

Jenazah telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan proses bedah siasat dilakukan sejurus mendapat keputusan ujian calitan Covid-19

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette