KUALA LUMPUR – XOX Berhad berkata, proses pembayaran tunggakan gaji para
pemain Perak FC telah dimulakan.

Daripada jumlah keseluruhan 168 kakitangan Perak FC, termasuk para pemain bola, lebih kurang RM1.6 juta telah dibayar kepada 94 orang.

Menurutnya, Perak FC menjangkakan proses pelangsaian semua pembayaran yang
berbaki akan dilengkapkan seawal minggu hadapan, sebaik sahaja selesai semua
proses pengesahan dan pengisytiharan hutang-hutang.

”Pihak pengurusan baharu Perak FC bersama pihak eksekutif XOX mengucapkan
terima kasih kepada para peminat dan semua pihak berkaitan dengan kelab bola
Perak atas sokongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

XOX berharap agar ini merupakan permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Perak FC serta mengembalikan zaman kegemilangannya.

Syarikat itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan dalam perlawanan
"home game" dengan UiTM pada hari ini. – MalaysiaGazette