SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga Finland ditemui mati di kediamannya  di Jalan USJ 2/4F, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang wanita warga China yang merupakan kenalan mangsa.

“Pengadu berusia 39 tahun itu dalam aduannya menyatakan bahawa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada simati tidak mendapat respons.

“Difahamkan, lelaki (mangsa) terbabit telah memuat naik di laman sosial Facebook memaparkan gambar mukanya dan tulisan memerlukan pertolongan perubatan ke hospital.

“Siasatan awal polis mendapati pintu rumah mangsa tidak berkunci, dalam keadaan gelap serta keadaan berselerak di bahagian bilik.

“Polis menemui seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik ketiga,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Tambah beliau, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurut jiran mangsa, lelaki itu tinggal berseorangan dan merupakan seorang yang mesra serta tidak mempunyai sebarang musuh.

“Berdasarkan kedudukan fizikal mangsa, polis tidak menemui sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Siasatan sedang dijalankan oleh polis untuk mengetahui punca kematiannya dan buat masa ini kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya. – MalaysiaGazette