Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap kepada media selepas membuat lawatan pemeriksaan status eskalator yang rosak di Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengangkutan e-hailing, Grab akan dipanggil memberi justifikasi mengenai dakwaan kenaikan harga tambang sehingga membebankan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dakwaan itu belum dapat dibuktikan lagi namun kementeriannya akan memanggil pengendali e-hailing untuk menjawab aduan pengguna.

“Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak.

“Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, hari ini.

Perkara itu, katanya, perlu bagi memastikan tidak ada pihak yang ‘menangguk di air keroh’.

“Sebagai pembuat dasar, kita tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan.

“Pihak mereka perlu menerangkan justifikasi sekiranya mereka berbuat demikian. Saya melihat perkata ini dari sudut pengguna di mana ia boleh dianggap sebagai kenaikan mendadak sebab sebelum ini tidak berlaku,” katanya.

Justeru itu, beliau turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneliti semula isu ini dan meminta penjelasan daripada syarikat berkenaan.

“Saya jangka sehari dua ini, syarikat ini patut terangkan kepada rakyat barulah kita lihat dasar apa yang perlu kita buat seperti menggalakkan lagi persaingan supaya harga akan turun,” katanya.

Pada minggu lalu, penumpang aplikasi itu menyuarakan rasa tidak gembira berhubung kenaikan harga perkhidmatan Grab, dengan ada yang meningkat hampir dua kali ganda di luar waktu puncak.

Paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah B40 yang berdepan dengan isu kenaikan harga tambang perkhidmatan itu yang agak membebankan. – MalaysiaGazette

Tambang e-hailing mahal: APAD buat analisis keperluan perubahan aspek kawal selia