Gambar hiasan

KUANTAN – Malang berganda buat seorang pesara guru wanita selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendakwa dirinya kerugian RM472,941.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, DSP Yap Huat Tian berkata, mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.

“Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.

“Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mangsa seterusnya mendakwa dirinya telah dihubungi oleh individu mendakwa mereka sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tersebut yang memintanya untuk memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan atas pelbagai alasan termasuk bagi mengaktifkan akaun itu sebelum wang pinjaman dapat dipindahkan.

Mungkin didorong oleh perasaan kasihan kepada rakan lelakinya, mangsa membuat 49 transaksi pemindahan wang ke akaun diarahkan oleh suspek terlibat sebelum menyedari dia ditipu kerana pinjamannya masih belum diluluskan walaupun wang simpanannya habis dipindahkan seperti arahan suspek.

“Mangsa mendakwa turut diugut oleh seorang suspek apabila memaklumkan dirinya tidak mahu meneruskan pinjaman selepas berasa ragu-ragu dengan kesahihan syarikat. Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam,” katanya.

Yap berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan memberi pinjaman wang di internet, sebaliknya berurusan secara fizikal dengan syarikat peminjam berlesen sahaja bagi mengelakkan risiko ditipu. – Bernama