Foto Arab News

MILAN – AC Milan menjulang gelaran Serie A pertama dalam tempoh 11 tahun apabila menewaskan Sassuolo 3-0 di Reggio Emilia, sekali gus merampas kejuaraan daripada Inter Milan pada hari terakhir kempen musim ini.

Milan meraih kemenangan hasil dua gol Olivier Giroud dan satu daripada Franck Kessie pada babak pertama di Stadium Mapei walaupun hanya perlu seri untuk memenangi Scudetto.

Milan kendalian Stefano Pioli menamatkan saingan dua mata di depan Inter, yang menewaskan Sampdoria 3-0 di San Siro tetapi gagal mempertahankan kejuaraan.

Rossoneri kembali menerajui bola sepak Itali selepas mengharungi tempoh sukar akibat masalah kewangan sejak memenangi gelaran liga pada 2011.

Paling manis bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang kembali ke Milan pada 2019, turut bersama pasukan itu ketika kali terakhir menjulang Scudetto. – MalaysiaGazette