Suasana gerai ayam di pasar Pasar Chow Kit. Foto MUHD NA'IM, 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada istilah kekurangan bekalan ayam di pasaran memandangkan Malaysia mempunyai banyak stok ayam import.

Pengurus Besar Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd, Azli Saat berkata, yang menjadi isu hari ini adalah kekurangan atau tiada di pasaran adalah ayam segar tempatan.

Beliau berkata, tiada isu besar bekalan ayam tidak cukup dan pihak kementerian berkaitan akan sentiasa memastikan bekalan ada untuk pengguna.

“Terimalah hakikat, ayam yang tak ada itu adalah ayam tempatan, atau orang panggil ayam bulat.

“Di pasaran masih ada ayam potong, kepak ayam dan isi ayam. Itu tidak menjadi hal, dan lebihan ayam itu memang wujud,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk ‘Siapa Sebenar Kartel Ayam?’.

Beliau berkata, isu penetapan bekalan ayam di pasaran tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ayam memang kurang dan ada tempat tak ada disebabkan beberapa isu seperti dedak yang semakin mahal dan ketiadaan pekerja di ladang.

“Apabila cakap ayam segar tak cukup, ada yang cakap ini adalah kartel atau kesepakatan untuk tunjuk kepada kerajaan.

“Tapi, adakah anda faham apa itu kartel? Kartel adalah pengeluar secara bebas yang bersepakat untuk mendapatkan keuntungan lebih melalui kolektif daripada mereka.

“Mereka ini akan menetapkan harga dan juga menetapkan bekalan. Itulah yang biasa kartel buat,” katanya.

Jelasnya, penetapan harga sudah lama diamalkan dan ia boleh diterima, tetapi bukan mengehadkan pengeluaran.

“Apa yang tak pernah berlaku adalah penetapan bekalan. Apabila diminta menghadkan pengeluaran, mana boleh.

“Kita ni berniaga ayam, kalau dihadkan macam mana pula,” katanya lagi.

Jelasnya, perkara ini harus diperhalusi oleh kerajaan agar melihat kepada penternak tempatan yang menghadapi dilema seperti ini.

“Sudahlah isu dedak dan pekerja pun tak selesai, timbul isu ini pula, harap ia dipandang serius,” katanya.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan  memaklumkan pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam di pasaran.

Langkah tersebut diambil susulan laporan bahawa ‘kartel’ ayam bertindak memberhentikan operasi ladang, sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan ayam di pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast