Pasukan keselamatan memberi bantuan kepada para penumpang feri yang terbakar. Foto Reuters

MANILA – – Sebuah feri dengan 124 penumpang dan 10 anak kapal terbakar pada Isnin ketika dalam perjalanan ke sebuah bandar di wilayah Quezon di Pulau Luzon, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh maut.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Armand Balilo berkata, kapal Mercraft 2 berlepas pada 5 pagi waktu tempatan di Polillo menuju ke pelabuhan bandar Real apabila ia terbakar kira-kira 900 meter dari pelabuhan.

Kebakaran memaksa penumpang dan anak kapal terjun ke laut.

Balilo berkata, 105 orang telah diselamatkan dan enam penumpang dibawa ke hospital.

Gambar dan video kejadian menunjukkan kebakaran yang berlaku itu menyebabkan para penumpang dalam keadaan kelam-kabut menyelamatkan diri.

Terdapat satu gambar menunjukkan orang ramai berpaut pada objek terapung dan tali manakala seorang kakitangan pengawal pantai sedang memberi bantuan pernafasan kepada orang mangsa lelaki.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran. – Xinhua