Mohd Shafiq Abdullah

KUALA LUMPUR – Penetapan etika berpakaian ketika berurusan dengan jabatan kerajaan dilakukan bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, penetapan etika berpakaian itu juga sesuai dengan budaya berbilang bangsa di Malaysia dan penampilan yang baik mencerminkan ketertiban dalam urusan rasmi kerajaan.

“Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di Jabatan Kerajaan di Jepun,
United Kingdom dan Australia serta negara-negara ASEAN seperti Filipina dan
Thailand,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk kepada laporan berita baru-baru ini berkaitan etika berpakaian yang ditetapkan kepada pelanggan yang hadir berurusan di Jabatan Kerajaan telah menyebabkan ketidakselesaan kepada segelintir pelanggan.

Pada Jumaat lalu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilapor membantah tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan yang dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.

Ia susulan beberapa aduan disampaikan orang awam mendakwa perkhidmatan kerajaan kini hanya akan melayan urusan orang awam yang mengikuti kod pakaian ditetapkan pejabat.

Tambah beliau, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa relevan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Ketua-Ketua Jabatan akan terus
memperkukuhkan program-program latihan kepada petugas kaunter di barisan
hadapan dan menyebarluas kefahaman sedia ada mengenai etika berpakaian
pelanggan.

Sementara itu, Mohd Shafiq berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, orang ramai digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang telah
disediakan.

Jelasnya, ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan akses terhadap perkhidmatan yang disediakan selain mengurangkan karenah birokrasi.

Katanya, sehingga kini terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian (Online) yang telah dibangunkan oleh kerajaan.

Menurut Mohd Shafiq, orang ramai boleh mencapai perkhidmatan secara menyeluruh (end-to-end services) melalui portal MyGovernment dan satu Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway).

Katanya, usaha berterusan itu akan menjamin kesempurnaan penyampaian perkhidmatan
awam kepada rakyat secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette