Suasana gerai ayam di pasar Pasar Chow Kit. Foto MUHD NA'IM, 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan merupakan tindakan yang tepat.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, langkah itu dilihat akan berjaya menangani krisis harga makanan di negara ini.

“Susulan pengumuman kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun nanti, PPIM berharap banyak lagi langkah akan diambil bagi memastikan harga makanan di pasaran tempatan dapat dikawal,” kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Jelas Nadzim, langkah itu amat diperlukan rakyat pada masa kini yang kian dihimpit dengan tekanan ekonomi setelah penularan Covid-19.

“Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka,” ujarnya.

PPIM turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keperluan rakyat dan membuat keputusan yang wajar serta tidak tergesa-gesa seperti sebelum ini.

“Kita lihat kerajaan kita agak terkebelakang dalam membuat keputusan, apabila keadaan sudah amat meruncing barulah Kabinet akan bermesyuarat untuk berbincang sedangkan isu harga makanan asas yang tinggi bukanlah perkara yang baru,” katanya.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan ketika di temuramah oleh Malaysia Gazzate di pejabat beliau di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID 11 FABRUARI 2021
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

Tambah Nadzim, apabila berlaku krisis ekonomi global, perkara pertama yang terjejas adalah harga bahan api, makanan dan sebagainya.

Ia termasuk kadar pengangguran semakin meningkat di negara ini.

“Dua tahun dunia dikurung akibat Covid-19 takkan tidak ada seorang pun pakar ekonomi negara ini yang dapat menjangka kesannya kepada ekonomi dunia seterusnya kepada negara.

“Jika tak makan ayam rakyat nak makan apa? Ulat? Serangga? Ubi kayu? Untuk pengetahuan pihak yang mungkin terlalu sibuk mengisi poket sendiri, ayam adalah sumber protein yang paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan daging.

“Nak suruh orang beli daging, sekilo paling murah pun RM15, habis itu rakyat nak makan apa, wahai yang berhormat yang bijaksana, apa lagi pilihan yang rakyat ada,” katanya.

Lewat petang tadi, mesyuarat Kabinet memutuskan lima langkah jangka pendek bagi mengatasi isu harga ayam mentah yang semakin meningkat.

Ia antaranya menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi terbabit.

Ketiga dengan memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Keempat, mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam dan kelima menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam. – MalaysiaGazette