Pegawai keselamatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan tinjauan di tapak kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ekoran kejadian tanah mendap mengakibatkan sebuah rumah teres  di Taman Pertama, Cheras runtuh pagi tadi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan pemaju pangsapuri berdekatan supaya menghentikan kerjanya serta merta.

Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, akibat kejadian kira-kira pukul 3 pagi tadi, pihaknya  telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja kepada pemaju terbabit.

Ini kerana berlaku pergerakan tembok penahan  projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di kawasan yang sama.

Beliau berkata, penghentian operasi itu supaya pemaju dapat menjalankan kerja-kerja pengukuhan tembok penahan selepas terdapat kesan tanah mendap.

“Kita sudah keluarkan Notis Berhenti Kerja kepada pemaju serta-merta. Jadi, pemaju akan buat kerja pengukuhan Contiguos Bore Pile atau CBP Wall dengan kaedah tambakan dan blok konkrit,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Mahadi, DBKL telah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sebagai perunding bebas untuk melaksanakan kajian dan kerja-kerja pengukuhan tembok penahan.

“Lantikan IKRAM ini termasuk menyemak semula reka bentuk tembok penahan yang disediakan oleh juruperunding pemaju bagi keseluruhan pembangunan tersebut,” ujarnya.

Jelas Mahadi, pihak pemaju diminta mengemukakan cadangan penyelesaian kekal bagi mengatasi segala isu di tapak pembangunan.

Sehubungan itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL bersama Jabatan Perancangan Infrastruktur akan melaksanakan pemantauan setiap hari sehingga keadaan di tapak kembali selamat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bersama dengan penduduk yang terjejas akibat berlaku kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pengarah Eksekutif Perancangan, Datuk Azmi Abdul Hamid serta wakil pemaju dan pihak IKRAM selaku perunding.

Terdahulu, berlaku kejadian tanah mendap hingga mengakibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dalam pengubahsuaian di sini runtuh awal pagi tadi.

Manakala pihak bomba telah mengarahkan enam buah rumah berdekatan kawasan tersebut untuk mengosongkan kawasan rumah berada yang didapati dalam keadaan tidak selamat.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah mangsa yang terlibat masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette