Para sukarelawan mengusung tali keselamatan sepanjang 240 meter untuk dipasang sepanjang laluan trek Bukit Galing, Kuantan pada Sabtu lalu

KUANTAN – Seramai 67 sukarelawan Kelab Kaki Camping Hiking And Travel (KCHAT) bergotong-royong bagi memperindah serta mengurangkan risiko kemalangan pendakian di Bukit Galing, Kuantan pada Sabtu lalu.

Setiausaha KCHAT, Nor Khalilah Gusti Hassan berkata, aktiviti yang dilakukan ialah memasang tali keselamatan sepanjang 240 meter dan membersihkan trek.

Nor Khalilah Gusti Hassan (bertudung hitam)

Menurutnya, aktiviti memperindah laluan Bukit Galing berketinggian 296 meter dari aras laut itu mendapat kerjasama kumpulan Ayuh Malaysia dan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.

“Amalan membawa turun semula sampah yang dibawa dan tidak lokek memungut sampah lama dalam memastikan lokasi pendakian sentiasa bersih bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan penjagaan keselamatan di hutan.

“Tali keselamatan sepanjang 240 meter tali berukuran 18 hingga 36 milimeter dipasang di sepanjang laluan trek pendakian Bukit Galing oleh para sukarelawan pendaki.

“Program ini  merupakan inisiatif KCHAT dalam menyahut seruan Kerajaan Pahang yang telah pun merasmikan dan melancarkan Pahang Hiking Day yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah pada Mac lalu.

Sukarelawan Kelab Kaki Camping Hiking And Travel (KCHAT) merupakan pendaki tegar di negeri ini

Peserta memasang tali baharu di lokasi curam dan licin yang dapat memberikan keselesaan kepada pendaki dan juga mengurangkan risiko kemalangan ketika nebdaki bukit itu.

Jelas Khalilah, usaha tersebut adalah lanjutan daripada program Pahang Hiking Day yang mana KCAT memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pemeliharaan alam semulajadi di samping mengumpulkan dana bagi menjayakan aktiviti ini.

“Tali ini ada yang kami beli, disumbangkan oleh ADUN Semambu, Lee Chean Chung dan ada juga yang disumbangkan oleh ahli secara peribadi, kos harga tali sahaja menelan belanja RM2,100 manakala makan minum ditaja oleh Gerai Wan Semambu.

“Kini semakin ramai dan kerap orang awam menerokai hutan, gunung dan sedar bahawa mendaki adalah salah satu cabang sukan ekstrem, bukan lagi sukan rekreasi yang boleh diambil mudah,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Khalilah, Bukit Galing menerima peningkatan tetamu harian sebanyak dua kali ganda yang membabitkan aktiviti pendakian pada waktu malam.

“Justeru, KCHAT terpanggil melaksanakan kempen ini bagi membantu meringankan kerja pohak berkuasa di samping menyokong minat serta menggalakan pendaki baru menerokai keindahan alam sekitar dengan mengutamakan aspek keselamatan.

67 sukarelawan membantu membersihkan trek dan memasang tali keselamatan di Bukit Galing, Kuantan yang berketinggian 296 meter

“Dalam program ini kami membersihkan laluan trek pendakian, mengutip dan mengorek sampah sampah lama yang sudah tertimbus tanah, cabut perca kain dan plastik yang digunakan untuk penanda arah dengan menggantikannya dengan tali barricade dan membuat penandaan laluan.

Khalilah berkata, KCHAT akan membuat pelaporan kepada pihak berkuasa yang lebih pakar berhubung laluan yang rosak seperti tanah runtuh atau pokok tumbang selain membuat penukaran laluan pendakian lebih selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast