Seramai 38 PATI Myanmar termasuk majoriti wanita diberkas ketika berjalan kaki di kawasan sempadan berpagar di Thailand Malaysia awal pagi tadi. Ihsan Markas OP Benteng ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 38 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki negara menerusi Thailand ditahan pihak berkuasa dalam Op Benteng berhampiran sempadan negara jiran itu.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, mereka ditahan di ladang getah yang berada di bawah tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Pada hari ini jam 5.45 pagi tadi, Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota yang bertugas di lokasi segera menjejaki lokasi pergerakan PATI itu sebelum menahan kesemua orang awam tersebut yang berjumlah seramai 38 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua individu yang berumur antara 15 hingga 40 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya merampas 23 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM10,498.82.

“Kesemua PATI yang ditahan itu telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan dan tindakan lanjut,’ katanya. – MalaysiaGazette