HFMD hand, foot and mouth disease Malaysia children cases ICU encephalitis
Simptom penyakit kaki, tangan dan mulut. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) seluruh negara terus meningkat 20 kali ganda tahun ini berbanding 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 47,209 kes HFMD dilaporkan bagi tahun ini sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 20/2022 pada 21 Mei lalu.

“Pada tahun 2021 sehingga ME yang sama iaitu hanya mencatatkan 2,237 kes manakala kes dilaporkan bagi ME 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara di mana peningkatan sebanyak 106.6 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, Selangor merupakan negeri yang menyumbang kes jangkitan tertinggi iaitu 13,640 kes (28.9 peratus).

Diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6,206), Perak (4,099), Kelantan (3,726) dan Sabah (3,352).

Sementara itu, tambahnya, negeri-negeri lain menyumbang lebih kurang 2,500 kes jangkitan.

Bagaimanapun peningkatan dalam tempoh ini telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, terdapat tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

Malah, katanya, terdapat dua kes HFMD tahun ini yang positif
EV71 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak.

“Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah enam tahun,” ujar Dr. Noor Hisham.- MalaysiaGazette