Jepun mengesan wabak pertama selesema burung untuk tahun 2022 di ladang ternakan di Pulau Utama Honshu dan Pulau Utara Hokkaido.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penternak di negara ini memberi jaminan akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran.

Perkara itu disuarakan 12 pemain industrii penternakan ayam negara kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) semalam.

“Melalui sesi libat urus hari ini (semalam), pihak industri juga telah menyatakan komitmen dan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam.

“MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting dan terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua 12 pemain industri itu termasuk Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd, HLRB Broiler Farm Sdn Bhd, PWF Corporation Bhd, Federation of Livestock Farmers’ Association of Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) yang membuat jaminan berkenaan pada sesi libat urus bersama MAFI.

Dalam kenyataan sama, MAFI berkata, pihaknya mengambil maklum semua isu yang telah dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya.

Isu-isu itu didakwa pemain industri telah menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.

Menurut kenyataan itu, isu  berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak juga telah dibincangkan.

Antaranya, mengarahkan Institut Teknologi Unggas (DVS) untuk memudahkan serta mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik.

“Sebelum ini, MAFI telah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

“Tindakan juga sedang diambil dengan mobilasi lebih banyak pegawai ke peringkat negeri bagi segerakan semakan permohonan,” kata kenyataan itu.

Semalam, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima langkah jangka pendek yang dicapai mesyuarat Kabinet terhadap isu bekalan dan harga ayam.

Antaranya, menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluarannya kembali stabil, mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

Selain itu, Permit Import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam juga akan dimansuhkan dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam termasuk menambah serta mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam. – MalaysiaGazette