Lim Ze Hui

KUALA LUMPUR – Peralihan monsun barat daya yang menyebabkan cuaca panas terik sejak Sabtu lalu sehingga pertengahan September ini masih boleh mencetuskan hujan lebat,  angin kencang dan petir.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia, Lim Ze Hui berkata, ini kerana angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera stabil.

“Ia merupakan fenomena biasa yang berlaku semasa monsun barat daya dan sepanjang tempoh ini, kadang-kala kita boleh alami hujan dan ribut petir pada sebelah petang,

“Apabila berlaku pembentukan awan maka hujan dan ribut petir boleh berlaku dalam tempoh masa yang pendek dan berpontensi membawa kepada bencana alam seperti kepala air serta banjir kilat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambah Ze Hui, hujan dan ribut petir ini boleh berlaku di sekitar kawasan pendalaman serta bandar besar di Semenanjung dan barat Sabah serta Sarawak malah ia boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

“Antara negeri yang berisiko berlakunya ribut petir seperti di Perak, Selangor, Johor, Pahang, dan mungkin Terengganu manakala sebelah di Sabah dan Sarawak pula di kawasan barat Sabah dan hampir kawasan pendalaman Sarawak.

“Jadi tanggapan bahawa ribut petir tidak akan berlaku dalam monsun barat daya ini adalah salah. Ia boleh berlaku dalam keadaan ekstrem hingga mengakibatkan bencana alam seperti yang berlaku baru-baru ini,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai tahap suhu panas yang boleh berlaku sewaktu peralihan monsun barat daya ini, beliau berkata Malaysia tidak akan mengalami gelombang haba yang melampau seperti yang berlaku sebelum ini.

“Lazimnya dengan keadaan sekarang, suhu maksimum pada sebelah siang yang direkodkan sekitar 33 hingga 35 darjah Celcius (°C) manakala sebelah malam pula, pencarapan yang kita lakukan semalam di antara 28°C hingga 30°C.

“Ini berdasarkan data-data terkini yang kita ada dan suhu ini nampaknya lebih tinggi daripada lazimnya berlaku semasa peralihan monsun baharu, yang kita lalui sebelum bermulanya monsun barat daya,” katanya.

Walaupun jumlah taburan hujan semakin berkurangan berbanding musim lain ditambah cuaca kering, beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka kerana boleh mengundang jerebu yang teruk.

Selain itu, beliau juga menggalakkan untuk menggunakan air secara berhemah kerana dibimbangi  bekalaan ia mungkin terjejas. – MalaysiaGazette