KUALA LUMPUR – Inflasi negara yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.3% pada bulan April 2022 kepada 125.9 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan dalam inflasi makanan menyumbang kadar tertinggi dalam keseluruhan IHP, sekali gus penyumbang utama inflasi.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022 (1.9%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan & minuman telah merekodkan kenaikan.

Ini diikuti oleh restoran & hotel (3.2%); pengangkutan (3.0%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.7%); pelbagai barangan & perkhidmatan (1.8%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.3%).

Pendidikan mencatatkan peningkatan 1.0 peratus dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat 0.8 peratus, minuman alkohol & tembakau dan kesihatan masing-masing meningkat secara marginal 0.5 peratus dan 0.2 peratus.

Komunikasi kekal tidak berubah manakala pakaian & kasut menurun 0.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai laporan tersebut, beliau menjelaskan, kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna, kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

Inflasi kumpulan ini meningkat 4.1 peratus pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan bagi kumpulan ini sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen

Makanan di luar rumah yang meningkat 4.4 peratus berbanding 4.0 peratus yang dicatatkan pada bulan Mac 2022.

Sebagai contoh, sate dan nasi berlauk mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi sebanyak 7.1 peratus (Mac 2022: 6.6%).

Masakan berasaskan sayur dan masakan berasaskan daging masing-masing meningkat 6.9 peratus (Mac 2022: 5.7%) dan 5.7 peratus (Mac 2022: 5.2%).

Sementara itu, makanan di rumah yang merujuk kepada bahan mentah untuk penyediaan makanan meningkat 4.1 peratus berbanding setahun lalu.

Kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan manakala subkumpulan susu, keju & telur menunjukkan kenaikan tinggi sebanyak 7.2 peratus berbanding 7.0 peratus pada bulan sebelumnya, diikuti oleh kenaikan daging (6.2%), sayur-sayuran (4.5%) dan ikan & makanan laut (3.8%).

Peningkatan harga sayur-sayuran adalah disebabkan oleh cuaca tidak menentu telah menjejaskan kematangan sayur-sayuran dan menyebabkan penyusutan bekalan di pasaran.

Selain itu, peningkatan harga ini juga disebabkan oleh peningkatan harga baja, kos logistik dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian.

Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan terutamanya disebabkan oleh peningkatan purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 kepada RM3.84 seliter berbanding RM2.55 seliter pada bulan yang sama tahun lalu, sejajar dengan kenaikan 63.3 peratus harga minyak mentah Brent kepada AS$105.78 setong.

Selain itu, Pembaikan & penyelenggaraan untuk pengangkutan meningkat 8.0 peratus (April 2021: 2.2%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Mac 2022 dipacu oleh makanan & minuman bukan alkohol; pengangkutan; perkhidmatan rekreasi & kebudayaan dan restoran & hotel yang masing-masing meningkat secara marginal 0.4 peratus.

Mohd Uzir, kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana dua negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.3 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor dan Putrajaya (3.1%) dan sementara itu, Pahang (1.6%) dan Sabah & Labuan (1.4%) merupakan dua negeri yang mempunyai peningkatan inflasi yang paling rendah.

Beliau menambah, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.3 peratus daripada 123.6 pada April 2021 kepada 126.4 pada April 2022.

Perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (2.3%) adalah lebih tinggi berbanding China (2.1%) namun lebih rendah dari Filipina (4.9%), Korea (4.8%), Thailand (4.7%) dan Indonesia (3.5%).

Dalam pada itu, kadar inflasi zon Euro meningkat 7.4 peratus pada April 2022 (Mac 2022: 7.4%), tiga kali lebih tinggi daripada sasaran European Central Bank (2.0%).

Kadar inflasi di Amerika Syarikat meningkat sederhana kepada 8.3 peratus pada April 2022 (Mac 2022: 8.5%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast