Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah bercakap pada sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melaksanakan 16 daripada sebanyak 23 inisiatif yang disyorkan selepas genap setahun insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran Kelana Jaya dalam terowong bawah tanah antara Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru pada 24 Mei tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, baki tujuh lagi inisiatif  sedang dilaksanakan oleh pengurusan Prasarana.

Katanya, tujuh inisiatif berjangka panjang itu dijangka selesai sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Dalam perkembangan berkaitan, kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau rapi perkembangan terhadap usaha-usaha Prasarana dan Rapid Rail dalam melaksanakan kesemua 23 inisiatif yang disyorkan Jawatankuasa Siasatan pada 9 Jun tahun lalu.

“Bagi memantapkan 23 inisiatif sedia ada, terbaharu pihak Prasarana dan Rapid Rail menambah tiga lagi langkah penambahbaikan.

“Ia termasuklah pemasangan kamera litar tertutup di dalam Pusat Arahan Operasi (OCC) yang akan siap pada 27 Julai 2021, meningkatkan tahap boleh lihat  penanda sektor landasan dan pemasangan papan tanda di dalam terowong yang siap pada 30 November 2021 dan menaik taraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya bermula pada suku keempat 2022,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ka Siong menambah, secara keseluruhannya, kementerian juga telah memperuntuk RM450 juta bagi inisiatif-inisiatif penambahbaikan yang sama.

Daripada peruntukan itu, katanya, sebanyak 80 peratus atau RM350 juta diperuntukkan kepada sistem pengesanan tren elektronik time-out bagi memudahkan pengesanan tren memandangkan, laluan Kelana Jaya yang beroperasi sejak 1998 itu masih beroperasi dengan sistem lama.

“Antara inisiatif jangka panjang lain yang juga sedang dijalankan Prasarana termasuk kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan pengawal OCC dan pemandu, melaksanakan kajian dan penilaian RAMS (reliability, availability, maintainability and safety) ke atas sistem tren dan aset Prasarana dan Rapid Rail selain memperkenalkan hot button untuk mempermudahkan kawalan OCC ke atas tren semasa situasi menjadi kritikal,” katanya.

Dalam kejadian pelanggaran dua LRT  pada 24 Mei tahun lalu telah melibatkan 213 penumpang termasuk 166 mengalami kecederaan ringan dan 47 lagi cedera parah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast