Sekumpulan remaja berpakaian seragam sekolah bergaduh dan tular di laman sosial facebook.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung video pergaduhan sekumpulan remaja berpakaian seragam sekolah yang berlaku semalam dan tular di laman sosial facebook.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya telah mengesan video pergaduhan terbabit yang berlaku Jalan Elopura, Bandar Sandakan sekitar jam 2 petang, semalam.

Beliau berkata, punca pergaduhan serta mereka yang terlibat dalam video berkenaan sedang dikenal pasti dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 47 Kanun Keseksaan.

Tambah Abdul Fuad, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes itu Insp Micheal Goh menerusi talian 016-8741216 atau 089-203223.

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan lebih 10 pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah menengah bergaduh dan turut kelihatan beberapa lelaki dewasa cuba meleraikan pergaduhan. – MalaysiaGazette