Ahmad Hamzah (tengah) sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Pertubuhan Peladang Kebangsaan di Petaling Jaya, Selangor.

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak mahu dipersalahkan dalam kelewatan pembayaran subsidi ayam kepada penternak.

Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ada dalam kalangan penternak yang gagal untuk membuat tuntutan pembayaran subsidi yang telah diumumkan sejak 9 Februari lalu.

“Kita harap penternak dapat mempercepatkan tuntutan subsidi. Jangan salahkan MAFI sahaja.

“Bahkan ada penternak sebenarnya sampai sekarang tak buat tuntutan sebab itu lambat,” katanya.

Tambah beliau, proses pembayaran juga mengambil masa kerana ada syarat yang perlu dipatuhi.

Katanya, semua tuntutan hendaklah diserahkan bersama dokumen sokongan iaitu invois, pesanan penghantaran dan baucar.

“Kita bukan boleh bayar sebarangan. Ini duit kerajaan. Apabila MAFI diberikan tanggungjawab, kita laksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Ahli Parlimen DAP itu hari ini mempersoalkan hanya RM50 juta daripada pemberian subsidi yang ditetapkan untuk harga siling ayam berjumlah RM730 juta sudah dibayar kepada penternak-penternak.

Steven turut mendakwa, kenyataan kementerian bahawa bekalan ayam di negara ini meruncing merupakan satu pengakuan kegagalannya menguruskan isu industri ayam.

Ahmad menegaskan, ahli politik pembangkang boleh membuat apa sahaja andaian dan persepsi namun hakikatnya isu bekalan ayam di negara ini dipengaruhi oleh tiga faktor utama.

“Kekangan yang pertama melibatkan kenaikan kos makanan haiwan yang mendadak. Yang kedua kerana perubahan cuaca yang ekstrim dan ketiga kerana masalah pekerja.

“Ini yang dihadapi oleh penternak dalam bidang ini. Pada ketika ini memang kita akui ada masalah disebabkan tiga faktor itu dan memang ada kekurangan pengeluaran. Jadi janganlah buat apa-apa andaian,” tegas Ahmad.

Ahmad ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob.

Pada 9 Februari lalu, Kabinet bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia.

Penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat serta 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori. Subsidi tersebut diberikan selama empat bulan hingga 4 Jun depan.

Mengenai kewujudan kartel ayam, Ahmad menyerahkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan.

“Kalau ada kartel kita pulangkan kepada MyCC untuk buat siasatan. Kalau ada kartel.

“Bagi kita, kita akan sentiasa membuat sesi libat urus dengan penternak supaya kita dapat maklumat terakhir kalau mereka ada masalah yang dihadapi,” katanya.-MalaysiaGazette