MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –¬†Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua pembantu kesihatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber, dua suspek lelaki masing-masing berusia 42 dan 40 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 4.45 petang di SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk mendapatkan perintah reman. – MalaysiaGazette