Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadang mewajibkan semua pelancong dari negara yang mempunyai kes virus cacar monyet (monkeypox) menjalani saringan di pintu masuk negara bagi mengelak penularan virus berkenaan di negara ini.

Sebagai permulaan keutamaan harus diberikan kepada pengembara dari Afrika sebelum diperluaskan ke beberapa negara benua Eropah lain yang mencatatkan kes, kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Kita harap, KKM boleh ambil langkah yang ketat termasuk mewajibkan pengembara-pengembara dari negara yang mempunyai kes melakukan saringan khas ini.

“Biarlah saringan kesihatan khas wajib ini dibuat dengan teliti di pintu-pintu masuk negara seperti lapangan terbang terutamanya pelancong dari Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Muay Thai Terbuka Merlimau di Japerun Merlimau, Lipat Kajang di sini hari ini.

Menurutnya, cadangan itu dilihat tidak sukar untuk dilaksanakan kerana gejala wabak cacar monyet mudah dikesan dari segi fizikal jika seseorang itu dijangkiti.

“Mungkin mana-mana pelancong yang kita nampak mencurigakan itu boleh diasingkan dahulu di klinik premis seperti di lapangan terbang umpamanya kerana kalau nak tunggu hasil ujian, ia mengambil masa yang lama untuk disahkan di makmal,” katanya.

Setakat ini, wabak cacar monyet tidak dikesan di negara ini, sebaliknya hanya melibatkan beberapa negara benua Eropah seperti United Kingdom (UK), Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia.

Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet. – MalaysiaGazette