Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Tempoh perkhidmatan guru interim lantikan tahun 2019 akan dilanjutkan untuk tempoh satu tahun lagi.

Kementerian Pendidikan berkata, lanjutan tempoh ini bagi membolehkan urusan temuduga dan lantikan tetap untuk guru-guru yang telah memenuhi syarat diselesaikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Sementara itu, guru interim lantikan sebelum tahun 2019 pula hendaklah memastikan syarat-syarat lantikan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dipenuhi bagi membolehkan perakuan dibuat oleh KPM sebelum dikemukakan kepada SPP untuk urusan temuduga dan lantikan tetap.

Guru-guru interim adalah guru sandaran berstatus DC41 ditempatkan di sekolah-sekolah bagi menampung kekurangan guru di Malaysia dan ditawarkan kontrak mengajar oleh kementerian.

Status guru interim ini menjadi tanda tanya selepas KPM melakukan pengambilan one-off guru seramai 18,000.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin membayangkan kontrak kira-kira 2,600 orang guru interim yang akan tamat pada Jun ini, dijangka disambung lagi dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan di antara kementeriannya dengan SPP selesai.

Katanya, kumpulan guru berkenaan tidak perlu bimbang mengenai nasib mereka termasuk desas desus kononnya mereka tidak akan mendapat gaji pada Mei ini.

Jelas beliau, urusan untuk menyerap kepada lantikan tetap adalah bidang kuasa SPP berdasarkan proses tertentu yang perlu dilalui oleh calon. – MalaysiaGazette