Video tular ini adalah kes lama dan sudah diambil tindakan.

KUALA LUMPUR – Klip video berdurasi 24 saat di Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘Joran Caster’ memaparkan kejadian tetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai adalah kes lama.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil semakan mendapati kejadian sebenar berlaku pada tahun 2018 di Jalan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

Malah, kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 160/324/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Suspek warganegara tempatan juga telah ditangkap bersabit kes ini dan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Muhammad Idzam berkata, tndakan menularkan kembali video lama menerusi media sosial oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar serta video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

”Pihak Polis Cheras juga berharap agar orang ramai dapat memeriksa kesahihan gambar atau video yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette