KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Khalifa Affnan.

Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu telah dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Menurut Baginda, kejayaan Khalifa telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Khalifa Affnan telah melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” menurut Facebook rasmi Istana Negara.

Khalifa dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang Khalifa menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga rakyat untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di bidang masing-masing.

Khalifa telah disenarai pendek sebagai salah seorang pemenang serantau dari rantau Australia, New Zealand dan Asia Tenggara, kata Cambridge University Press dalam satu kenyataan.

Beliau akan menerima set kelas buku dan sumber digital pilihan oleh Cambridge University Press, pakej pembangunan profesional dan juga akan dipaparkan di hadapan setiap buku teks Pendidikan Cambridge University Press baharu mulai Februari 2023 dan seterusnya.

Ini adalah kali pertama seorang guru Malaysia dipilih sebagai pemenang untuk anugerah di peringkat global dan serantau.

Beliau memenangi anugerah berkenaan atas pencapaiannya dalam memulakan projek STEM di mana dia melatih pelajar dalam robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi yang lain.

Usaha beliau telah meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan dan pelajar berkeperluan khas dalam aktiviti STEM.-MalaysiaGazette