Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh membuat tandukan ke pintu gol lawan sambil dikawal pemain Brunei, Abdul Muiz Sisa pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Bola Sepak Brunei Darussalam mengambil positif kekalahan 4-0 pasukannya kepada Malaysia dalam aksi Persahabatan Antarabangsa 2022 di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Muhd Rosanan Abdullah Samak berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya walaupun kurang melakukan persiapan daripada segi fizikal dan latihan.

“Saya tahu di mana kelemahan pemain kami dan tidak membandingkannya dengan skuad Harimau Malaya sebab Malaysia berpengalaman beraksi banyak kali di peringkat antarabangsa.

“Saya tetap bangga dengan persembahan anak buah saya di atas padang walaupun kalah dalam perlawanan malam ini disebabkan kekangan segala latihan dan aksi liga domestik dihentikan selama dua tahun yang lalu.

“Justeru kami beraksi tanpa pemain terbaik kesebelasan utama kami memandangkan ada yang tidak pulang ke kem latihan dan ada di kalangan mereka dijangkiti positif Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Tambah Muhd Rosanan, pihaknya juga tidak mempunyai masalah dengan keputusan pengadil tuan rumah yang mengendalikan perlawanan.

Sebaliknya beliau selepas ini akan memberi fokus untuk menganjurkan penyertaan pasukan Brunei dalam perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa untuk meningkatkan motivasi dan memperbaiki aksi mereka.

Dalam aksi berkenaan, keempat-empat gol pasukan Malaysia kendalian Kim Pon Gan hadir menerusi Muhammad Syafiq Ahmad, Mohammad Syamer Kutty Abba, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Guilherme de Paula.

Selepas ini Malaysia akan berdepan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Jun ini. – MalaysiaGazette