(Dari kiri) Teresa, Mohd. Khairuddin dan Zuraida.

KERUSI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak pernah menjadi kerusi panas dan menjadi badi kepada penyandangnya.

Bagaimanapun sejak tamat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) penyandang jawatan itu bermula daripada Teresa Kok kemudian Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan kini Datuk Zuraida Kamaruddin seperti terkena badi.

Tiga pertukaran berlaku sebelum tempoh penggal PRU-14 tamat. Dan hampir setiap penyandangnya terpalit dengan isu yang akan diingati oleh rakyat.

Teresa minum sesudu sawit

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dilantik menjadi Menteri Industri Utama sebaik Pakatan Harapan mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Teresa yang merupakan Ahli Parlimen Seputeh menduduki kerusi itu pada 2 Julai 2018.

Pada 9 April Teresa mengamatkan Dewan Rakyat apabila dia mengajak ahli-ahli Parlimen supaya mengambil minyak sawit merah untuk kekal ‘awet muda’.

Menurut Teresa, minyak sawit merah yang kaya dengan mikronutrien dengan lebih 20 jenis kumpulan karotenoid juga bersifat antioksida dan bebas daripada lemak trans.

“Semua (wakil rakyat) akan diberikan minyak sawit merah secara percuma hari ini di Parlimen, semua akan dapat menikmati kelazatan minyak sawit merah ini.

“Semua akan jadi ‘awet muda’ seperti yang amat berhormat, perdana menteri, seperti yang dipertua dan juga saya,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun niat baik Teresa yang menggerakkan kempen ‘Sayangi Sawitku’ bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit tidak dapat diterima oleh sebilangan masyarakat.

Ketika Teresa menganjurkan untuk rakyat minum sesudu minyak sawit mereka membayangkan minyak masak dan bukannya minyak sawit merah.

Kempen “Sayangi Sawitku” merupakan usaha berterusan oleh Teressa bagi menangkis tohmahan negara luar termasuk Kesatuan Eropah (EU) terhadap hasil minyak sawit negara.

Sehingga kini, saranan Teresa itu dijadikan bahan ‘ketawa’ termasuk oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dalam kenyataan baru-baru ini.

Isham meletakkan saranan Teresa antara senarai 18 ‘kebodohan’ menteri PH sebagai menjawab dakwaan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bahawa Malaysia tidak mempunyai ‘menteri bijak’.

Bekas menteri industri utama itu bagaimanapun menyelar kenyataan Isham yang memperlekehkan pelaksanaan kempen yang dijalankannya.

“Saya terkejut dengan kenyataan Isham kerana ia bukan sahaja tidak berasaskan fakta dan sains, tetapi juga menentang dasar kerajaan berhubung hasil kelapa sawit yang menjadi kebanggaan Malaysia.

“Saya tidak tahu sama ada beliau belajar sains daripada media sosial atau beliau tidak yakin dengan kerajaan, sama ada yang ditadbir oleh PH atau Barisan Nasional, untuk mempertahankan komoditi negara,” katanya.

Teresa hanya bertahan menjadi Menteri Perusahaan Utama selama 22 bulan kerana Kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Mac 2020.

Mohd Khairuddin sawit anugerah Tuhan 

Selepas Kerajaan Perikatan Nasional naik, tempat Teresa kemudiannya digantikan oleh Mohd Khairuddin yang merupakan pemimpin Pas ketika itu.

Mohd. Khairuddin yang merupakah ahli perniagaan dilantik pada 10 Mac 2020 dan nama kementerian ditukar kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau kemudiannya menukarkan kempen Sayangi Sawitku kepada Sawit Anugerah Tuhan.

“Berhubung dengan Kempen Sayangi Sawitku, saya telah bergerak untuk mengubah kempen itu kepada yang lebih baik, insya- Allah namanya iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

“Ini pendekatan saya untuk sepanjang menjadi menteri,” katanya dalam Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 22 Julai 2020.

Bagaimanapun pertukaran nama kempen berkenaan tidak disenangi oleh Teresa. Beliau kesal kerana Mohd Khairuddin menukarkan slogan kempen tersebut.

Menurut Teresa, sawit sememangnya anugerah Tuhan kepada dunia.

“Tetapi bila saya melancarkan kempen Sayangi Sawitku’, saya bukan menyasarkan warga Malaysia sahaja, tetapi saya juga menjalankan kempen yang menyasarkan warga asing dan masyarakat antarabangsa dari Malaysia, iaitu ‘from Malaysia, we speak to the world’.

“Itu sebab kami mewujudkan slogan dalam bahasa Inggeris “Love My Palm”, MY bermaksud Malaysia. Slogan dalam Bahasa Inggeris ini adalah untuk sambil menyelam minum air,” katanya.

Jawatan yang disandang Mohd. Khairuddin tidak lama apabila tampuk kepimpinan negara bertukar daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tempat Mohd. Khairuddin diambil alih oleh Zuraida pada 27 Ogos 2021.

Badi Mohd Khairuddin berterusan apabila digugurkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2021-2023 pada 14 Januari lalu.

Pengguguran tersebut dikaitkan dengan ‘masalah disiplin’ yang dikaitkan dengan Mohd. Khairuddin. Pada 14 Mac beliau mengumumkan keluar daripada Pas dan menjadi ahli parlimen bebas.

Zuraida ‘under one roof

Ketika pentadbiran Zuraida, polemik mengenai kempen sawit tidak banyak kedengaran.

Boleh dikatakan, sepanjang menjadi menteri dia fokus dalam peranannya untuk menentang kempen anti-minyak kelapa sawit di Eropah.

Cuma pada Februari lalu dia ‘dicuit’ oleh Teresa yang mahu penjelasan maksud ‘under one roof’.

Ini selepas  Zuraida dilaporkan berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan diletakkan ‘under one roof’.

Teresa menasihatkan Zuraida agar tidak berbuat demikian.

“Saya rasa lucu bila baca respons Menteri MPIC Zuraida Kamaruddin terhadap kenyataan saya berkenaan cadangan beliau untuk meletakkan MPOB, MPOC dan MPOCC di bawah satu bumbung (will be brought under one roof) dalam artikel yang disiarkan dalam Thesundaily.my pada 17 Februari 2022.

“Kalau ini bukan maksud beliau, apakah maksud sebenar Zuraida dalam kenyataannya “under one roof”?

“Saya percaya Zuraida tahu MPOB, MPOC dan MPOCC sudahpun terletak dalam satu kementerian. Ini bermaksud ketiga-tiga agensi ini telah pun terletak di bawah ‘satu bumbung’,” kata Teresa.

Sebelum itu Zuraida menyifatkan Teresa sebagai individu yang kurang pemahaman bahasa Inggeris berhubung cadangannya meletakkan tiga agensi minyak sawit di bawah satu bumbung.

“Dia (Teresa) ingat satu bumbang itu macam duduk dekat rumah macam anak beranak, macam itulah agaknya (dia faham), pemahaman dia silap, saya maafkan dia,” bidas Zuraida.

Semalam Zuraida mengeluarkan kenyataan akan berbincang dengan perdana menteri berkaitan peletakan jawatannya sebagai menteri. Ini susulan keputusannya keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi diperuntukkan kepada Bersatu.

Siapakah akan mengisi jawatan ini selepas Zuraida? Apakah slogan kempen sawit yang akan dilaksanakan? Sempatkan jawatan ini diisi kerana pilihan raya umum akan tiba bila-bila masa? Sama-sama kita tunggu.- MalaysiaGazette