Pegawai polis, Azrol Khalil mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan RM16,000 sebagai dorongan menutup kes jenayah komersil seorang lelaki ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

SHAH ALAM – Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan RM16,000 sebagai dorongan menutup kes jenayah komersial seorang lelaki.

Azrol Khalil, 37, dituduh melakukan perbuatan itu ketika menyandang jawatan pegawai penyiasat pada 7 Febuari 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak lebih 20 tahun, selain boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang diterima atau mana-mana jumlah tertinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Yusriza Zulkifli menawarkan kepada mahkamah wang jaminan sebanyak RM10,000.

Kemudian, tertuduh yang diwakili peguamnya P.G Cyril terdahulu memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut kerana anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 28 Jun 2022 sebagai tarikh sebutan kes.- MalaysiaGazette