Mahkamah Majistret Telok Datok

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat semalam kerana gagal membayar kompaun kesalahan parkir kenderaan.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu mengaku bersalah atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta tanpa bayaran.

Menerusi hantara di Facebook, Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, Majistret Khairul Farhi Yusob mengenakan hukuman denda RM150 atau tiga hari penjara terhadap tertuduh.

“Tertuduh telah mengaku bersalah dan telah membayar denda mahkamah tersebut.

“Lelaki tersebut mempunyai kompaun sejak tahun 2008 yang lalu dan mempunyai sebanyak 60 kompaun masih belum dijelaskan yang mengakibatkan beliau didakwa ke mahkamah (semalam),” katanya.

Pendakwaan kesalahan adalah mengikut Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, MDKL 2007 yang dilakukan Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa MPKL, Ahmad Razali Abdul Manaf.

Sementara itu, Amirul Azizan berkata, pihaknya menawarkan diskaun bayaran kompaun parkir sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL yang akan tamat pada 9 September ini.

Katanya, tawaran diskaun kompaun sebelum 2019 adalah sebanyak RM15 manakala, 2020 hingga 22 (RM10).

“Individu atau syarikat yang telah dikenakan kompaun haruslah menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette