Kredit foto: Jabatan Perikanan Malaysia

PUTRAJAYA – Lima vesel penangkapan ikan tempatan ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Perikanan dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa kawasan perairan negara.

Operasi selama lima hari sejak Isnin lepas di perairan Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Pulau Langkawi melibatkan hasil rampasan bernilai kira-kira RM2.5 juta membabitkan empat vesel pukat tunda Zon C dan sebuah vesel pukat tunda Zon B serta 900 kilogram (kg) ikan bernilai RM13,400.

Menurut kenyataan Jabatan Perikanan hari ini, kesemua vesel itu ditahan kerana melakukan kesalahan melanggar Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru asing tanpa sebarang kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

“Kesalahan lain adalah melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar kawasan dibenarkan, tidak mengusahakan vesel sendiri dan memasuki perairan negeri lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 68 anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk 53 dari Jabatan Perikanan dan 15 anggota PGU PDRM dengan menggunakan tiga bot jabatan serta dua pesawat iaitu Caravan dan King Air milik PGU PDRM.

“Operasi ini bagi menjamin sekuriti makanan negara membawa kepada kedaulatan keselamatan perairan negara dan jaminan keselamatan nelayan tempatan sepanjang di laut,” katanya. – BERNAMA