Tertuduh, Nabilah Md Johan, mengaku tidak bersalah di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mendera seorang bayi berusia 11 bulan, minggu lalu.

MELAKA – Seorang pengasuh sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan mendera seorang bayi berusia 11 bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Nabilah Md Johan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang juga guru di taska berkenaan dituduh menganiayai mangsa dengan cara mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badannya dengan menggunakan tangan.

Kesalahan itu dilakukan pada jam kira-kira 5.30 petang hingga 5.45 petang 18 Mei lalu di alamat Taska Ummi Ana, beralamat No 43, Jalan Sri Emas 25, Taman Seri Telok Emas dalam daerah Melaka Tengah.

Kes didakwa di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang mana jika sabit kesalahan boleh di penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari  mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Ab Kadir Ismail bagaimanapun memohon kadar jaminan yang munasabah dengan mengambil kira penjamin adalah ibu tertuduh sendiri, yang juga pengusaha taska.

Hakim Nariman kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dalam apa juga keadaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast