Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 12 nelayan warga Vietnam dan merampas dua buah bot tunda pada kedudukan 36.4 dan 36.7 batu nautika daripada muara Tok Bali, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata kedua-dua tangkapan dan rampasan itu dilakukan oleh kru bot ronda daripada Pos Maritim Pengkalan Kubor, Tumpat yang sedang melaksanakan Op Naga Barat dan Op Damai Siri 32/2022.

“Bot pertama bersama 10 kru termasuk tekong dikesan pada 1.05 pagi pada kedudukan 36.4 batu nautika, kehadiran anggota penguat kuasa APMM menyebabkan bot nelayan asing tu bertindak melarikan namun mereka berjaya ditahan pada 1.30 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan,  Tok Bali, di sini hari ini.

Khairun Dalilah berkata bot kedua bersama dua kru termasuk tekong dikesan pada 1.45 pagi pada kedudukan 36.7 batu nautika dan ditahan 15 minit kemudian.

“Kesemua nelayan berusia antara 25 hingga 61 tahun bersama bot telah ditunda ke Ibu Pejabat APMM Tok Bali.

“Selain bot turut dirampas peralatan menangkap ikan, pelbagai jenis ikan seberat 600 kilogram serta 3,000 liter minyak diesel. Nilai rampasan dianggarkan lebih RM2 juta,” katanya.

Khairun Dalilah berkata kes akan disiasat dibawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dan  Seksyen 6 (1)(c)  Akta  Imigresen 1959/63  kerana gagal  mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang  sah.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 jika  sabit  kesalahan boleh dihukum  denda sehingga RM6 juta bagi setiap tekong dan RM600,000 keatas setiap kru selain bot dan peralatan  menangkap ikan juga boleh dilucut hak,” katanya.

Khairun Dalilah berkata APMM Kelantan akan terus melakukan rondaan sepanjang masa berikutan maklumat yang diperoleh menyatakan terdapat lapan hingga 10 buat bot nelayan asing sedang berada di perairan antarabangsa dan akan memasuki perairan negara terutama di kawasan pelantar minyak.

“Kita sedang bekerjasama dengan pihak pelantar minyak yang berada di kawasan terbabit dengan memberikan maklumat tentang pencerobohan sekiranya berlaku,” katanya.

— BERNAMA