Dr Noor Azmi Ghazali

MELAKA – Kerajaan tidak akan menutup pintu sempadan negara untuk mengelak kemasukan virus cacar monyet yang semakin menular ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) sebaliknya hanya akan meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa terutama di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Sekarang ini kita dah buka sempadan antarabangsa dan tak bolehlah nak tutup balik sebab bila orang tengah senyum kita tutup nanti tentulah mereka akan marah.

“Sebaliknya, kita akan memperketatkan kawalan pintu masuk, bukannya tutup. Kakitangan KKM juga telah diberi taklimat pencegahan agar berwaspada dengan pelawat dari negara endemik dan ada kes virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan Kali Ke-7 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman.


Dr Noor Azmi (kiri) melihat pameran selepas merasmikan Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan Kali Ke-7 di
sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, setakat ini, Malaysia tidak mencatatkan virus dari negara Afrika itu yang sudah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.

“Cacar monyet memang tiada ubat setakat ini, sebab itu fokus kita adalah pada pintu sempadan negara dengan saringan ketat yang mana kalau ada sahaja virus dikesan, kita asingkan pesakit dengan cepat.

“Dari segi persediaan makmal kita pun dah sedia termasuk MKAK (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan) bagaimana untuk kita kesan virus ini,” katanya.

Pemantauan kes kematian perioperatif KKM bermula sejak 1992 dan kadar pelaporan kematian perioperatif telah meningkat secara eksponen kepada lebih daripada 92 peratus di seluruh negara pada tahun 2021 dan kadar Kematian Perioperatif Malaysia adalah pada 0.5 peratus.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KKM untuk memastikan peningkatan kebolehcapaian penjagaan pembedahan dan anestetik dan pada masa sama mengurangkan komplikasi pembedahan, morbiditi dan kematian.- MalaysiaGazette.