Ibu kandung dan nenek saudara direman empat hari bantu siasatan kes dera pasangan adik beradik di Air Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ibu kandung dan nenek saudara ditahan selepas disyaki mendera pasangan adik-beradik di sebuah flat di Air Itam, di sini, direman selama selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perintah reman terhadap suspek wanita berusia 28 dan 52 tahun itu bermula hari hingga 31 Mei ini.

“Kedua-dua wanita itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan mereka ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, dua wanita yang mengenakan pakaian berwarna merah jambu itu tiba di pekarangan Mahkamah George Town dalam keadaan bergari bagi mendapatkan perintah reman.

Media semalam melaporkan, polis menahan dua wanita tempatan kerana disyaki terlibat mendera dua kanak-kanak berusia lima dan tiga tahun dalam serbuan di sebuah rumah flat di Air Itam di sini.

Soffian berkata, kedua-dua wanita berkenaan adalah ibu dan nenek saudara kepada kanak-kanak berkenaan.

“Satu laporan polis dibuat seorang lelaki warga tempatan di Balai Polis Air Itam, di sini berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook oleh orang awam tentang gambar dua orang kanak-kanak sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan dua suspek pada jam 11.15 pagi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette